Friday, 10 March 2017

PENGENALAN

Pada zaman moden ini, jelas sekali menunjukkan kehidupan manusia sekarang adalah terlalu mudah dan cepat dipengaruhi oleh unsur-unsur asing, terutamanya unsur-unsur bahasa asing yang mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang kuat dan kukuh.

Bahasa pertuturan harian manusia juga tidak dikecualikan, akan menerima pengaruh dan menyerap pengaruh asing sehingga menimbulkan fenomena percampuran kod. Hal ini disebabkan semua bahasa di dunia ini mempunyai daya penerimaan dan penyerapan kosa kata bahasa lain kerana dipengaruhi faktor dalaman dan luaran bahasa lain. Sifat kesemulajadian bahasa ini telah membawa kepada fenomena percampuran kod dan peralihan kod dalam sesuatu bahasa terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Menurut Jendra (1988), kod biasanya disamakan dengan bahasa, gaya bahasa dan variasi bahasa. Jadi, boleh kita katakan kod merupakan satu sistem pertuturan yang menerapkan unsur-unsur bahasa yang mempunyai ciri-ciri khas yang sesuai dengan latar belakang penutur dan konteks pertuturan. Jadi, percampuran kod merupakan salah satu cara penggunaan bahasa, di mana terdapat percampuran kod atau kombinasi antara bahasa-bahasa yang berbeza dalam satu ayat yang sama. Jadi, dalam kata lain, fenomena percampuran kod boleh dikatakan sebagai fenomena bahasa yang bercampur aduk di antara sesuatu bahasa natif dengan bahasa asing.

Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum dan di mana sebahagian besar rakyatnya adalah golongan Bilingual ataupun Multilingual. Oleh kerana penerimaan dan penyerapan daripada pelbagai bahasa yang berlainan dan sikap penutur, serta populasi masyarakat yang berbilang kaum dan bermultilingual, fenomena percampuran kod adalah satu fenomena yang biasa yang berlaku di kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya percampuran kosa kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa natif penutur. 


No comments:

Post a Comment